Masalah SMK Entilibon diatasi

Jumaat, 2009 April 24

KINABATANGAN 23 April – Masalah kekurangan kemudahan infrastruktur yang dialami Sekolah Menengah Kebangsaan Entilibon di sini akan diatasi apabila bangunan baru sekolah berkenaan siap tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, walaupun sekolah baru itu dibina dua kilometer dari sekolah asal tetapi ia tetap sebahagian daripada SMK Entilibon.

”Ini adalah antara langkah drastik kementerian dalam menangani kekurangan kemudahan infrastruktur di sekolah berkenaan,” katanya selepas meninjau beberapa sekolah di sini semalam.

Beliau yang dalam lawatan kerja meninjau sekolah di kawasan pedalaman Sabah ditemani Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh.

Selain kekurangan bilik darjah, SMK Entilibon turut mengalami kekurangan kemudahan asrama, rumah guru, bilik guru dan bilik multimedia.

Mengulas mengenai masalah di bangunan SMK Elopura Bestari yang sebahagiannya terbakar baru-baru ini, Mohd. Puad berkata, pihaknya akan melantik juru perunding bagi meneliti kos membaik pulih bangunan asrama yang terbakar itu.

”Bagi SMK Gum-Gum pula kita akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk membuat kajian berhubung dua blok A dan B bangunan sekolah ini yang tidak selamat lagi untuk digunakan,” ujarnya.

Beliau menambah, sebaik menerima laporan daripada JKR, kementeriannya akan mengambil tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, Kementerian Pelajaran akan berusaha memastikan sekolah-sekolah di luar bandar mempunyai kemudahan infrastruktur yang mencukupi.

Katanya, tinjauan awal di beberapa sekolah luar bandar di sini mendapati masih banyak yang perlu dilakukan bagi merapatkan jurang kemudahan antara sekolah luar bandar dan bandar.

”Jurang pendidikan ini perlu dirapatkan lagi supaya pelajar-pelajar di luar bandar dan pendalaman di sini dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

sumber: http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2009/04/masalah-smk-entilibon-diatasi.html

Leave a comment

No comments yet.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s