Kesal keadaan SMK Entilibon masih daif

ARKIB : 19/06/2008

<!–         –>

KINABATANGAN 18 Jun – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, membidas sikap pegawai dan kakitangan Pejabat Pelajaran Gabungan Lahad Datu yang mengabaikan kemudahan dan keselesaan para pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon di Telupid, dekat sini.

Katanya, tindakan mereka yang tidak melaporkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah mengenai kemudahan asas yang amat daif di sekolah terbabit melibatkan kerosakan kerusi, meja, kipas, tilam dan bumbung kelas itu amat dikesali.

”Saya kesal dengan sikap pegawai-pegawai Pejabat itu kerana tidak memberi laporan lengkap berhubung masalah kemudahan di situ sedangkan mereka bertanggungjawab penuh terhadap kebajikan sekolah ini.

”Mereka sepatutnya menjadi perantara untuk membantu mendapatkan bantuan daripada pihak kerajaan melalui wakil rakyat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, di sini hari ini.

Sekolah tersebut yang jaraknya kira-kira setengah jam perjalanan dari sini, mempunyai 500 pelajar dan 25 kakitangan, mula beroperasi pada tahun 2000 dan tidak mempunyai bilik sumber atau komputer.

Bung Moktar berkata, antara punca utama sekolah tersebut terbiar tanpa pembelaan sewajarnya ialah kerana pihak atasan di jabatan tersebut tidak turun padang melihat sendiri keadaan atau masalah di sekolah tersebut.

Justeru, katanya, beliau akan memanjangkan perkara itu kepada pihak Kementerian Pelajaran di Sidang Dewan Rakyat supaya segala kekurangan dan keperluan di sekolah tersebut dapat diatasi segera.

”Ini benar-benar mengaibkan bagi rakyat Kinabatangan, sepatutnya negara kita yang sudah pun 51 tahun merdeka, tidak perlu lagi berhadapan dengan masalah asas seperti ini,” tegasnya.

Bung Moktar mendakwa, perkara yang lebih mengecewakan ialah masalah itu sudah diadukan beberapa kali kepada pihak yang bertanggungjawab, tetapi sehingga kini, tiada sebarang tindakan susulan diambil.

”Ia bukan cerita yang direka-reka oleh golongan ibu bapa yang menghantar anak di sekolah itu, tetapi masalah yang benar-benar berlaku.

”Saya sendiri melawat sekolah ini dan melihat kedaifannya,” katanya.

Bung Moktar merangkap Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu meminta pihak jabatan turut memantau kekurangan atau kerosakan kemudahan asas di sekolah-sekolah lain di daerah ini.

sumber : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm

Tunggak Masa Hadapan

S

ekolah Kebangsaan Entilibon dan Sekolah Kebangsaan Kiranggu merupakan dua buah pusat pendidikan formal yang disediakan oleh kerajaan kepada anak-anak Kampung Entilibon.

Sesuai dengan matlamat kerajaan yang ingin melahirkan modal insan cemerlang, kedua-dua buah sekolah ini telah melahirkan ramai anak watan yang berjaya dan ada antara mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti tempatan mahupun luar negara.

Kedua-dua buah sekolah ini turut menyediakan pendidikan pra sekolah. Tujuannya adalah untuk membiasakan kanak-kanak ini kepada persekitaran sekolah sebelum menempuh alam pendidikan yang sebenar. Bagi pendidikan peringkat menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon menjadi pilihan. Bukan kerana faktor kedudukannya yang dekat dengan kawasan penempatan tetapi kewibawaan pihak SMK Entilibon telah melahirkan ramai insan cemerlang setiap tahun. Ini mengukuhkan lagi keyakinan mereka terhadap kredibiliti sekolah tersebut.

Antara mereka yang berjaya ialah Bernio Jaini, Jikin Maturik, Florence Donius, Rostina Thomas, Azlina Sipin, Suzia Jiwa, Helen Duani dan ramai lagi. Mereka adalah antara graduan universiti yang telah pun berjaya dalam bidang masing-masing sekali gus menjadi contoh dan pemangkin dalam perkembangan ilmu kepada generasi muda di sini.

sumber : http://telecentre.my/LWK/Template/TemplateContent.aspx?ContentID=6767

Masalah SMK Entilibon diatasi

Jumaat, 2009 April 24

KINABATANGAN 23 April – Masalah kekurangan kemudahan infrastruktur yang dialami Sekolah Menengah Kebangsaan Entilibon di sini akan diatasi apabila bangunan baru sekolah berkenaan siap tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, walaupun sekolah baru itu dibina dua kilometer dari sekolah asal tetapi ia tetap sebahagian daripada SMK Entilibon.

”Ini adalah antara langkah drastik kementerian dalam menangani kekurangan kemudahan infrastruktur di sekolah berkenaan,” katanya selepas meninjau beberapa sekolah di sini semalam.

Beliau yang dalam lawatan kerja meninjau sekolah di kawasan pedalaman Sabah ditemani Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh.

Selain kekurangan bilik darjah, SMK Entilibon turut mengalami kekurangan kemudahan asrama, rumah guru, bilik guru dan bilik multimedia.

Mengulas mengenai masalah di bangunan SMK Elopura Bestari yang sebahagiannya terbakar baru-baru ini, Mohd. Puad berkata, pihaknya akan melantik juru perunding bagi meneliti kos membaik pulih bangunan asrama yang terbakar itu.

”Bagi SMK Gum-Gum pula kita akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk membuat kajian berhubung dua blok A dan B bangunan sekolah ini yang tidak selamat lagi untuk digunakan,” ujarnya.

Beliau menambah, sebaik menerima laporan daripada JKR, kementeriannya akan mengambil tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, Kementerian Pelajaran akan berusaha memastikan sekolah-sekolah di luar bandar mempunyai kemudahan infrastruktur yang mencukupi.

Katanya, tinjauan awal di beberapa sekolah luar bandar di sini mendapati masih banyak yang perlu dilakukan bagi merapatkan jurang kemudahan antara sekolah luar bandar dan bandar.

”Jurang pendidikan ini perlu dirapatkan lagi supaya pelajar-pelajar di luar bandar dan pendalaman di sini dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

sumber: http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2009/04/masalah-smk-entilibon-diatasi.html