“Rotan mendidik bukan balas dendam”

KAMPUNG GAJAH – Kementerian Pelajaran perlu meletakkan garis panduan yang betul kepada guru yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar jika mahu perkara itu dikuatkuasakan kembali.

Bekas Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Zamsuri Zakaria berkata, GMGBM telah lama bersetuju untuk melaksanakan hukuman rotan itu tetapi perlu ada garis panduan yang betul.

Menurutnya, mereka yang diletakkan tanggungjawab untuk merotan perlu diberi pendedahan atau latihan khusus cara-cara merotan yang betul.

:“Hukuman rotan yang dilakukan haruslah untuk mengajar dan bukannya untuk membalas dendam ataupun kerana perasaan marah seseorang itu kepada pelajar berkenaan.

:“Mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan hukuman itu perlu diberi kursus atau pendedahan bagaimana untuk merotan dengan betul iaitu merotan untuk memberi pengajaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

:Zamsuri berkata, Kementerian Pelajaran perlu memikirkan satu garis panduan yang betul supaya hukuman rotan yang akan dilaksanakan memberi kesan positif kepada pelajar yang menerima hukuman berkenaan.

“Ia perlu dikaji terlebih dahulu bagaimana untuk melakukan hukuman rotan supaya ia memberi kesan yang positif dan betul-betul memberikan pengajaran kepada pelajar berkenaan.

“Merotan janganlah dilakukan di hadapan khalayak ramai kerana ia boleh mengaibkan pelajar berkenaan dan ia boleh dilakukan di bilik tertutup seperti pejabat atau bilik guru,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi berkata, pengenalan semula hukuman rotan yang dihentikan pada 2006 lalu wajar diteruskan mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, hukuman itu perlu dikenakan kepada pelajar jika mereka masih berdegil walaupun sesi kaunseling sudah dijalankan.

Sinar Harian: 13 September 2009

sumber : http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/

Advertisements

Ibu bapa marah dengan kejadian dialami Elton

13th September, 2009

KENINGAU: Kisah malang yang menimpa pelajar Tingkatan 3 SMK Gunsanad 2 – Elton John, 15, yang mengalami kecacatan sebelah badan, selepas dilempar dengan fail oleh seorang guru displin pada Rabu, menimbulkan kemarahan rata-rata ibu bapa di daerah ini.

Ibu bapa yang ditemui menyifatkan perbuatan guru tersebut sebagai melampau, dan tidak sepatutnya berlaku ke atas seorang guru yang berpendidikan.

“Ia sungguh memalukan dan mencemar nama baik institusi perguruan,” jelas Mantan Pengerusi PIBG SMK Gunsanad – Aizan Mian.

Aizan yang sedih dengan kejadian itu, mahu pengurusan sekolah mencari penyelesaian terbaik berhubung dengan kes itu.

“Pelajar itu sudah cacat, dan beliau perlu dipulihkan seperti sedia kala, tetapi mampukah guru berkenaan mengambalikan sesuatu yang hilang daripada pelajar itu,” tegasnya.

Aizan amat kesal kerana kekasaran masih menjadi pilihan utama guru-guru untuk membetulkan displin pelajar di sekolah.

“Tidak adakah cara yang lebih mulia daripada itu,” sambungnya.

Pengerusi PIBG SK. Panagatan Keningau, Mohd Khairil Abdullah pula mahu supaya satu siasatan terperinci dilakukan ke atas guru yang terlibat.

“Kes melibatkan kecederaan ke atas pelajar sering kali berlaku pada era ini, sekaligus mencerminkan kualiti perguruan boleh dipertikai,” katannya.

Menurut Khairil, guru pada sebelum ini dan masa kini amat jauh berbeza.

“Apabila kes-kes seumpama ini sering kali terjadi, nilai seorang guru itu terlalu rendah,” katannya.

Seorang bekas pengerusi PIBG SK Meninipir – Salleh Benedict mengutuk perbuatan itu dan mahu agar guru serta pengurusan sekolah bertanggungjawab sepenuhnnya.

“Ia tidak memadai dengan sekadar mengucapkan ‘saya memohon maaf’, kerana pelajar itu kini cedera,” tekannya.

Salleh mahu agar perbuatan seumpama itu tidak akan berulang, dan institusi perguruan harus memastikan guru yang dilahirkan benar-benar berkualiti.

“Kenapa mesti menggunakan kaedah yang mirip kepada perangai samseng,” tekan seorang aktivis masyarakat Ebin Sombuting.

Ebin yang kecewa dengan kejadian itu mencadangkan agar satu kaedah perlu dibuat, untuk merawat mana-mana guru yang bermasalah.

Apapun tambah aktivis itu, penstrukturan semula mengenai kaedah memperkasakan displin dikalangan murid atau pelajar, perlu dibuat bagi memastikan sekolah itu benar-benar selamat untuk pelanggan.

“Apabila kes-kes ala samseng seperti ini berlaku, kita merasakan sekolah tidak selamat untuk anak-anak kita,” jelas seorang ayah yang hanya mahu dikenali sebagai Jimmy.

sumber : http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/31984